IJAZAH SARJANA MUDA TARI DENGAN KEPUJIAN
Fakulti Tari menawarkan program Ijazah Sarjana Muda Tari dengan Kepujian dalam dua (2) pengkhususan iaitu Persembahan dan Koreografi. Program yang menyeluruh ini bertujuan melahirkan graduan yang menguasai pelbagai teknik tari yang terdapat di Malaysia, Asia dan Barat. Matlamat utama program ijazah adalah melahirkan penari ataupun koreografer profesional yang bertaraf antarabangsa dengan pengetahuan teori dan praktikal. Institusi ini mempunyai matlamat untuk melahirkan penggiat seni yang mampu menjadi pemimpin dan penggerak dalam usaha membangunkan industri kesenian kreatif negara. Melalui program pengajian yang menitikberatkan ilmu teori dan praktikal, Fakulti Tari juga melengkapkan graduan dengan pengetahuan dan kaedah dalam melaksanakan kajian untuk menjadi penggiat seni, pendidik, pakar rujuk dan sarjana. Dua (2) program Ijazah Sarjana Muda Tari dengan Kepujian tersebut adalah seperti berikut:
IJAZAH SARJANA MUDA TARI DENGAN KEPUJIAN (PERSEMBAHAN) - MQA/FA0144
Pengkhususan ini akan melatih dan mengasah bakat pelajar dalam semua aspek persembahan untuk menghasilkan graduan tari yang berkaliber tinggi. Kursus yang ditawarkan merangkumi persembahan tarian tradisional rakyat, klasik dan etnik di Malaysia serta genre-genre tari yang lain seperti Tari Asia Tenggara, Balet, Moden, Kontemporari dan sebagainya. Semasa penilaian tahun akhir, pelajar akan dinilai dalam persembahan yang berdurasi selama 20 hingga 25 minit yang wajib dipersembahkan secara solo, duet dan berkumpulan. Matlamat program adalah untuk melahirkan graduan yang menjadi penari yang berilmu, serba boleh (versatile), bersifat pemimpin, boleh berkomunikasi dengan baik, mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat, berdaya saing, dan memiliki daya pemikiran kreatif serta kritis sejajar dengan amalan industri.
Pelajar akan mempersembahkan (pilihan) tarian seperti berikut:
● Tari Melayu
● Tari India
● Tari Cina
● Tari Sabah/ Sarawak
● Balet
● Kontemporari
● Silat
● dan lain-lain (dengan persetujuan Fakulti)
Syarat: Setiap pelajar wajib mempersembahkan tarian secara solo, duet dan berkumpulan. Durasi persembahan adalah selama dua puluh (20) hingga dua puluh lima (25) minit untuk setiap pelajar.
IJAZAH SARJANA MUDA TARI DENGAN KEPUJIAN (KOREOGRAFI) - MQA/FA0145
Pengkhususan ini akan memberi pendedahan kepada pelajar tentang kaedah dan ilmu yang diperlukan untuk mencungkil daya kreativiti dalam menghasilkan koreografi melalui kuliah, bengkel, seminar, serta persembahan. Antara kursus yang ditawarkan adalah seperti Improvisasi, Komposisi Tari, Koreografi, Rekonstruksi Tari, Muzik Untuk Tari, dan Tari & Multimedia. Bagi penilaian tahun akhir, pelajar wajib menghasilkan dua (2) buah karya tari yang bertemakan elemen tradisi dan bebas. Keunikan pengkhususan ini adalah memberi ruang kepada pelajar untuk mengembangkan daya kreativiti dalam menghasilkan karya tari di samping mengangkat elemen tradisi yang bertujuan untuk melahirkan koreografer yang berteraskan identiti Malaysia. Matlamat kursus ini adalah untuk melahirkan koreografer berilmu, berkaliber, berdaya saing, memiliki daya pemikiran kreatif serta kritis, mempunyai kemahiran berkomunikasi yang tinggi, dan mampu mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat sejajar dengan amalan industri.
Berikut merupakan pelaksanaan modul dalam persembahan dan koreografi:
Pelajar harus menghasilkan dua (2) karya iaitu: -
● Satu (1) karya yang menggunakan elemen tradisi.
● Satu (1) karya bebas.
Durasi setiap karya adalah selama lapan (8) hingga sepuluh (10) minit.
